JPJ Kedah Buka Tender Nombor Plat Kenderaan

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender tempahan bagi nombor pendaftaran kenderaan ‘KEL 1 hingga KEL 9999’ kepada orang awam bermula semalam hingga 23 Oktober ini.

Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff, berkata, pihaknya menjangkakan nombor pendaftaran negeri itu turut akan mendapat sambutan seperti yang diperoleh ‘KEE’ dan ‘KEK’ sebelum ini berdasarkan pertanyaan dan panggilan orang awam mengenai tender tersebut sejak beberapa hari lepas.

“Sebelum ini, JPJ Kedah mendapat kutipan tertinggi hasil daripada tender nombor pendaftaran ‘KEE’ adalah RM308,000 pada 2016 manakala ‘KEK’ sebanyak RM189,000 kira-kira tiga bulan lalu.

“Justeru itu, kami menjangkakan ‘KEL 1 hingga KEL 9999’ mendapat kutipan yang juga tinggi kerana mempunyai banyak kombinasi yang boleh dijadikan pelbagai perkataan seperti ‘KEL 14’ (KELIA), ‘KEL 413’ (KELAB), ‘KEL I45’ (KELISA) dan ‘KEL I847’ (KELIBAT).

“Ismasuhaimi berkata, terdapat tiga kategori nombor pendaftaran dibuka iaitu nombor emas yang bermula angka 1 hingga 10 dengan tender bermula RM10,000 yang kedua ialah nombor menarik (nombor dua angka) yang bermula RM2,000 , nombor popular (nombor kahwin) bermula RM300 dan nombor semasa bermula RM210,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Kata Ismasuhaimi, beliau yakin nombor pendaftaran negeri ‘KEL’ ini mendapat sambutan yang menggalakkan hingga boleh mencecah RM2 juta tender jumlah tender terkumpul berbanding nombor ‘KEE’ sebanyak RM1.88 juta seperti sebelum ini.

“Buat masa ini nombor pendaftaran ‘KEK’ masih berjalan dan dijangkakan akan mencecah angka 9000 pada awal November ini…selepas selesai ‘KEK’, nombor pendaftaran ‘KEL’ pula dijangka bermula pertengahan November ini,“ katanya.

Dalam pada itu, Ismasuhaimi turut menegaskan agar pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan berkaitan nombor pendaftaran kenderaan agar ianya mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Dalam keghairahan untuk memilih dan menempah nombor plat ini, saya sekali lagi ingin memperingatkan pengguna agar mematuhi spesifikasi yang sudah ditetapkan JPJ kerana jika melanggar peraturan, saman akan dikeluarkan,” katanya.

Katanya, bagi sesiapa yang berminat bolehlah membuat tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah atau melayari laman web JPJ di www.jpj.gov.my untuk mendapatkan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai proses tempahan. – BERNAMA

Leave a reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.